视频说明
Seorang pembantu perancang acara sambilan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Klang pada 18 Mei, atas pertuduhan memandu bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kecederaan parah pada seorang penghantar makanan, minggu lalu.
Tertuduh, Low Kean Peng, 35, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret A Karthiyayini.
Mengikut pertuduhan, Kean Peng didakwa telah memandu kenderaan dengan kadar 196 miligram (mg) alkohol dalam 100 mililiter (ml) darah, iaitu melebihi had ditetapkan sebanyak 146mg alkohol dalam 100ml darah, sehingga menyebabkan kecederaan parah pada penunggang motosikal, Zulfiqar Zamir Amirul Nizam, 27, di Persiaran Kota, Klang, sekitar jam 12.35 tengah malam Rabu lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 44(1A) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan melaporkan diri di balai polis berdekatan dua kali sebulan dan lesen memandu tertuduh digantung hingga kes selesai.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 30 Julai depan.
Turut hadir menyaksikan prosiding pendakwaan ialah keluarga mangsa termasuk ibu, Hamidah Othman, 54, dan tunang mangsa, Nurul Syafiqah Ridzuan, 25.
-----
#HMETRO #METROTV
▪️ Berita terkini di http://www.hmetro.com.my